Tukang jahit warga Indonesia didakwa sokong Daish

Shafiq Noordin
Julai 7, 2017 12:02 MYT
Tukang jahit, Rino Kaswara Kasmar, 34, warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River hari ini atas tiga pertuduhan menyokong, menggalakkan aktiviti dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daish. - Foto Bernama
Seorang tukang jahit warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River hari ini atas tiga pertuduhan iaitu menggalakkan keahlian, menyokong ideologi dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daish.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Rino Kaswara Kasmar, 34, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin.
Tertuduh didakwa dengan dakwaan mempunyai pengetahuan dan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daish dengan menggunakan aplikasi media sosial Telegram ‘Ansharulkhilaafah Filibiin-Indonesia’ yang diwujudkan olehnya di Medan Niaga, Jalan Pasar, Pekan Slim River pada 2 Mei.
Dia didakwa mengikut seksyen 130j(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.
Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas Mujaideen Indonesia Timur (MIT) dan kumpulan Daish melalui aplikasi Telegram atas nama Rijal Mujahideen Minangkabau di lokasi yang sama di antara 2 Mei hingga 12 Jun lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130G (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan ketiga dia didakwa memiliki telefon bimbit mengandungi unsur-unsur berkaitan kumpulan pengganas Daish di Bazar Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Pekan Slim River 12 Jun lalu dan dituduh mengikut seksyen 130JB (1)(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan berkenaan.
Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syalia Ain Zainuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Intan Nurul Farena menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semula kes sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
#Daesh #Indonesia #Rino Kaswara Kasmar
;