Tukang cuci warga Indonesia ditahan rakam wanita dalam tandas
Sinar Harian
Jun 4, 2024 17:30 MYT
Jun 4, 2024 17:30 MYT
MELAKA: Polis menahan seorang tukang cuci tandas warga Indonesia yang disyaki merakam seorang wanita dalam tandas kedai menjual biskut, di Lorong Hang Jebat, di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainal Samah berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 4.16 petang mangsa berusia 24 tahun dan bekerja sebagai eksekutif kanan di Selangor telah menggunakan tandas tingkat satu premis itu.
Menurutnya, ketika berada dalam tandas tersebut, mangsa yang datang ke premis itu bersama rakan lelaki ternampak sebuah telefon bimbit di lubang dinding tandas sebelah kirinya ketika hendak memakai seluar.
Katanya, selepas insiden tersebut mangsa telah berjumpa dengan pengurus kedai itu dan menceritakan apa yang berlaku sebelum individu terbabit membuat pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik tukang cuci berusia 27 tahun itu.
"Pengurus kedai telah memeriksa telefon bimbit lelaki tersebut dan mendapati terdapat rakaman video pengadu di dalam tandas kedai sebelum mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah.
"Suspek kemudian telah ditangkap dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine," katanya lagi.
Tambahnya, suspek yang bekerja di situ sejak setahun lalu telah direman selama empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. - Sinar Harian