Tukang cuci dituduh bunuh pejalan kaki, halang penjawat awam

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 23, 2021 15:12 MYT
Tiada sebarang pengakuan direkodkan tertuduh Mohamad Adlin Abd Rahman, 46, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Seorang tukang cuci didakwa di Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan membunuh seorang pejalan kaki ketika melarikan diri sewaktu dikejar polis dalam kejadian di Jalan Perak, Pulau Pinang pada 15 Jun lepas.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan tertuduh Mohamad Adlin Abd Rahman, 46, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Adlin, didakwa telah menyebabkan kematian Teoh Kar Hin, 61, diantara jam 6.45 pagi hingga 6.50 pagi pada 15 Jun lepas di Jalan Perak.
Bagi kesalahan itu, dia dakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Sementara itu di mahkamah sama, Mohamad Adlin turut berdepan dua lagi pertuduhan bersabit kesalahan menghalang penjawat awam serta memasukkan dadah methamphetamine ke dalam tubuhnya.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan dia didakwa menghalang empat orang penjawat awam iaitu polis yang sedang menjalankan tugas di persimpangan lampu isyarat di Jalan P. Ramlee sehingga Jalan Batu Uban diantara jam 6.45 pagi hingga 7.25 pagi 15 Jun.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Manakala bagi kesalahan memasukkan dadah ke tubuh, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.
Selain itu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memiliki 12.5 gram dadah jenis heroin.
Tertuduh turut tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.
Bagi kesalahan memiliki dadah dia didakwa di bawah Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam R. Puran.
Kes disebut semula pada 12 Ogos depan.
#bunuh #tukang cuci #Majistret George Town #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #George Town #bunuh pejalan kaki
;