Tuk-tuk di jalanan bandar KL?

Astro Awani
Januari 13, 2015 17:45 MYT
Adakah sesuai untuk memperkenalkan kenderaan tuk-tuk bagi mengatasi masalah pengangkutan awam?
Masalah kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama negara khususnya di Kuala Lumpur menjadi igauan kepada pengguna jalan raya.
Walaupun bas awam, monorel dan LRT sudah tersedia dan dimanfaatkan buat masa ini, permintaan terhadap jenis pengangkutan untuk sampai ke lokasi tertentu yang tidak terjangkau laluan tiga pilihan tersebut masih diinginkan.
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) baru-baru ini melalui pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar sudahpun melontarkan cadangan untuk memperkenalkan tuk-tuk sebagai penyelesaian yang lebih murah, lebih-lebih lagi dengan kemungkinan kenaikan tambang teksi tahun ini.
Pihak SPAD bercadang untuk memperkenalkannya menjelang akhir tahun ini.
Tuk-tuk merujuk kepada kenderaan roda tiga bermotor yang popular digunakan sebagai pengangkutan awam di kota-kota pelancongan seperti Bangkok, Thailand. Di Jakarta, kenderaan yang lebih kurang sama dipanggil ojek atau bajai.
Ia merupakan penyelesaian pengangkutan yang murah, mudah dan pantas khususnya dalam jaringan jalan perhubungan yang sentiasa sesak di kota-kota besar.
#Kuala Lumpur #pengangkutan awam #SPAD #tuktuk
;