Tujuh warga Filipina didakwa miliki kad pengenalan palsu
Abd Razak Mohd Ali
Januari 27, 2023 15:41 MYT
Januari 27, 2023 15:41 MYT
MANJUNG: Tujuh warga Filipina termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, pada Jumaat atas tuduhan memiliki kad pengenalan palsu.
Pertuduhan terhadap Marwan Abdul Salam, Satra Alih Anama, Abdul Latif Sabtula, Asri Hamal, Hamal Anilisto, Jufilie dan Salam Anama dibacakan di hadapan Majistret T Kavita.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa tidak mempunyai kuasa yang sah memiliki kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi perumahan di sekitar Sitiawan, Perak pada 26 Januari 2023.
Kesemua mereka didakwa di bawah peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.
Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Ketujuh-tujuh tertuduh juga mengaku bersalah dan mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menjatuhkan hukuman.
#tujuh warga Filipina
#Kad pengenalan palsu
#Mahkamah Majistret Seri Manjung
#memiliki kad pengenalan palsu