Tujuh tuntutan My Climate Strike terhadap kerajaan

Fareez Azman
September 21, 2019 23:06 MYT
Peserta Himpunan Aman My Climate Strike berarak dari Sogo ke Dataran Merdeka membawa sepanduk selamatkan dunia. - Astro AWANI/Fareez Azman
Sebanyak tujuh tuntutan disuarakan kepada kerajaan dalam perhimpunan aman membantah pemanasan global, My Climate Strike di ibu negara pada Sabtu.
Menurut Pengasas Klima Action Malaysia (Kamy) yang juga penganjur perhimpunan itu, Illi Nadiah Dzulfakar, kesemua tujuh tuntutan itu bagi memastikan jerebu tidak melanda negara ini lagi.
"Ini namanya tuntutan Malaysia Tolak Jerebu. Kerajaan mesti gubal Akta Jerebu Trans-Sempadan. Kedua; tetapkan hukuman berat ke atas syarikat bertanggungjawab punca jerebu. Ketiga, kerajaan diminta bentuk Jawatankuasa Bertindak Khas untuk siasat syarikat punca jerebu.
"(Keempat) Larangan keras terhadap Syarikat Pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) daripada bekerjasama dengan syarikat punca jerebu. Kelima; syarikat berasaskan sumber asli mesti isytihar peta konsesi kepada pihak berwajib," katanya.
Turut digesa dalam tuntutan itu, kerajaan diminta mewujudkan Sistem Pemantuan Titik Panas Nasional untuk memantau syarikat syarikat berasaskan sumber asli, manakala tuntutan terakhir adalah pemimpin negara ASEAN perlu menjamin kerjasama efektif dan mengambil pendirian tegas berkaitan.
Perarakan itu bermula dari pusat beli-belah Sogo dan berakhir di Dataran Merdeka.
Lebih 1,000 peserta membawa sepanduk antaranya tertera mesej 'Selamatkan Bumi', 'Hentikan pembakaran hutan' serta 'Siasat dan dakwa syarikat yang menjadi punca jerebu'.
Turut bersama dalam perhimpunan itu ialah aktivis sosial Hishamuddin Rais serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar.
Perhimpunan berlangsung selama tiga jam itu, turut disaji dengan aksi simbolik bantahan pemanasan global yang menyaksikan para peserta berbaring di atas Dataran Merdeka.
#ASEAN #bantah #Berarak #climate #Dataran Merdeka #GLIC #kerajaan #Malaysia #Merdeka #NGO #pelaburan #pemanasan global #perhimpunan #Perhimpunan Aman #tindakan #tuntutan #Undang
;