Tujuh titik panas dikenal pasti di Sarawak
Rohana Wahed
Ogos 15, 2018 17:30 MYT
Ogos 15, 2018 17:30 MYT
Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) mengenal pasti sekurang-kurangnya tujuh titik panas di Sarawak serta 121 titik panas di Kalimantan yang menyumbang kepada pencemaran jerebu ke negeri itu sejak semalam.
Pegawai NREB, Peter Sawal berkata, keadaan kering dan panas luar biasa, disusuli tiupan angin dari Kalimantan yang mengarah ke Sarawak menambah buruk situasi jerebu di negeri itu.
"Sehingga semalam, terdapat tujuh titik panas dikesan di Sarawak dan 121 dikesan di Kalimantan. Bacaan IPU untuk bandar seperti Kuching, Samarahan, Serian, Mukah, Bintulu, Sibu, bacaan IPU adalah di paras sederhana di bawah 100.
"Bakinya di pedalaman dan juga di bahagian utara Limbang, mereka masih menikmati cuaca yang baik," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Rabu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihaknya telah mengesan berlakunya pembakaran terbuka di Sarawak, antaranya di Sibu, Mukah, Betong dan Sri Aman.
Memandangkan tiada permit pembakaran terbuka dikeluarkan sejak Julai lalu, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peladang-peladang yang melakukan pembakaran terbuka ini.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara di Sarawak sehingga jam 3 petang tadi menunjukkan Mukah tercemar teruk dengan bacaan 84 IPU, diikuti Sibu (75 IPU), Bintulu (71 IPU) dan Kuching (58 IPU).
Malah jarak penglihatan di Mukah dikatakan merosot sehingga 500 meter di sesetengah tempat.
#Betong
#jerebu
#Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak
#Mukah
#NREB
#Peter Sawal
#Sarawak
#Sibu
#Sri Aman
#titik panas