Tujuh terbunuh insiden keganasan terbaharu di selatan Thailand

Bernama
Jun 11, 2018 19:31 MYT
Ribuan penduduk wilayah Pattani menghadiri pengebumian Adulej Cheknae yang disahkan meninggal dunia kira-kira 2.45 pagi, 10 Jun (waktu tempatan) selepas ditembak penyerang tidak dikenali pada Jumaat di Masjid Kampung Lalo di Pattani. --fotoBERNAMA
Minggu terakhir bulan Ramadan terus menyaksikan insiden keganasan di selatan Thailand dengan tujuh lagi penduduk tempatan terbunuh dalam tiga kejadian tembakan berasingan yang berlaku bagi tempoh 24 jam.
Ketiga-tiga insiden berdarah itu menyusuli insiden pembunuhan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani Adulej Cheknae serta empat lelaki yang sedang mendulang emas di Pattani serta Narathiwat, tiga hari lepas.
Dalam kejadian pertama kira-kira 1 pagi tadi (waktu tempatan), lima lelaki berusia antara 25 dan 39 tahun maut ditembak dari jarak dekat dipercayai oleh empat penyerang tidak dikenali di sebuah rumah di Mukim Tanah Putih, Banang Setar di Yala.
"Kesemua mangsa ditembak di bahagian badan dan kepala dari jarak dekat," kata Penolong Ketua Polis daerah Banang Setar Kapt Zulkifli Rasak kepada pemberita di sini, hari ini.
Polis turut menemui beberapa kelongsong peluru senapang patah dan 5.56mm milik senapang M-16 di lokasi kejadian, katanya.
Menurut Zulkifli, mangsa yang maut itu dikenali sebagai Ibrahem Muset, 32, Aranchai Dohet, 26, Usman Yusuf, 39, Furqan Raso, 25, dan Ahamad Muset, 33 tahun.
Katanya kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Tanah Putih, dan pihaknya masih menyiasat kes itu termasuk mengenal pasti motif pembunuhan.
Dalam kejadian pada 10 pagi tadi (waktu tempatan) di Kampung Patae, juga di Yala, penduduk tempatan dikenali sebagai Adul Madiyoh, 40, ditembak mati oleh penyerang menaiki motosikal ketika berada di hadapan rumahnya.
Kapt Ponpisut Khonraen dari Balai Polis Daerah Yaha yang mengesahkan kejadian itu berkata, polis sedang menyiasat motif kejadian tersebut.
Sementara itu, dalam kejadian pada 6 petang semalam di daerah Saiburi, Pattani, seorang wanita dikenali sebagai Yenah Abubakar, 48, juga maut akibat tembakan di bahagian kepalanya.
Mangsa yang merupakan isteri penghulu Mukim Trabon ditembak ketika sedang menjual juadah berbuka puasa di hadapan rumahnya, kata Penolong Ketua Polis Daerah Saiburi Kapt Aniwat Khobpech.
"Dua lelaki turun dari motosikal dan menembak beliau," katanya, sambil menambah mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.
Zulkifli berkata polis masih menjalankan siasatan tentang kejadian itu.
-- BERNAMA
#Adulej Cheknae #keganasan #maut #Narathiwat #Pattani #Pembunuhan #selatan #senapang #tembak #Terbunuh #Thailand #yala
;