Tujuh tawaran transformasi: PH usul peruntukan tambahan RM45 bilion ringan beban rakyat
Astro Awani
September 11, 2021 12:08 MYT
September 11, 2021 12:08 MYT
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mengusulkan peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat.
Keutamaan adalah berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program pro-rakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40, serta kebebasan institusi kehakiman, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peruntukan tambahan itu sebahagian reaksi pihak pembangkang susulan tujuh tawaran bagi melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar menyifatkan ia satu permulaan yang baik susulan pertemuan beliau dan pimpinan PH dengan Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu.
"Walaupun begitu, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri dari ancaman wabak dan membebaskan rakyat dari cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan," katanya.
BACA: PM umum 7 tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan, wujud landskap politik baharu
Pada masa sama, Anwar menyifatkan, masih wujud keperluan mengemukakan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri secepat mungkin pada sidang Parlimen kali ini.
"Ini berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu, bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat," katanya.
PH, jelas beliau, akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan menekankan isu tata kelola kerajaan yang baik serta ketegasan membasmi rasuah.
"Wajar ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal, dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak eksekutif.
"Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat," tambah Anwar.