Tujuh tahun SMK Suria Jaya terbengkalai, KPM jamin 'penyelesaian khas' segera
Hasimi Muhamad
Mac 11, 2022 13:04 MYT
Mac 11, 2022 13:04 MYT
BATU PAHAT: Penantian penduduk sekitar Parit Yaani, di sini untuk melihat pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya dapat disiapkan sepenuhnya dan digunakan bakal terlaksana.
Ini kerana, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan akan mencari jalan penyelesaian khas terhadap projek pembinaan SMK Suria Jaya selepas ia terbengkalai sejak tujuh tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata projek tersebut yang dibina pada 2013 sepatutnya siap pada 2015, dan ketika ini hanya berbaki tiga peratus sahaja lagi.
Jelas beliau, kelewatan untuk menyiapkan projek berkenaan berlaku berikutan masalah prestasi syarikat kontraktor yang dilantik, sebelum KPM menamatkan perkhidmatan pada Disember 2020.
KPM juga, jelas Mohamad telah mengarahkan pegawai pembangunan Negeri Johor untuk berbincang dan meneliti penyelesaian berhubung isu tersebut, yang dikategorikan sebagai 'projek sakit'.
"Untuk makluman kontraktor lama telah pun ditamatkan kontrak mereka dan KPM akan melantik satu lagi kontraktor yang baharu iaitu kontraktor penyelamat. Jadi progres pembinaan sekolah ini sudah 97 peratus siap, (dan) hanya ada tiga peratus sahaja lagi.
"Jadi saya agak sedikit terkilan dan kecewa kenapa ini boleh berlaku. Kita minta pegawai-pegawai yang terlibat untuk melihat perkara ini sebagai “special”. Cari jalan yang “special” dan kita harap ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
"Kalau boleh kita akan buka tender pada tahun ini juga, dan ini harapan saya kerana ini adalah masalah masyarakat dan harus melihat rintihan ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau sekolah tersebut, di sini pada Jumaat.
Hadir sama ialan calon Barisan Nasional (BN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri.
Difahamkan projek tersebut melibatkan kos pembinaan sebanyak RM30.5 juta.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata KPM telah menerima aduan berhubung kelewatan projek tersebut sejak 2015, dan beberapa kali telah melanjutkan tempoh perkhidmatan kontraktor terbabit.
Justeru, beliau menegaskan pembinaan projek itu perlu diteruskan semula pada tahun ini.
Mohamad menambah tidak timbul isu melibatkan peruntukan dalam hal tersebut, sebaliknya KPM mempunyai peruntukan sedia ada dan akan membuat tafsiran baharu berdasarkan kos semasa projek.
"Saya turun hari ini adalah atas rintihan dan aduan para pimpinan masyarakat, dan juga penduduk di kawasan Parit Yaani.
"Mereka nak sangat dahagakan sekolah baharu di sekolah ini, oleh kerana sekolah terdekat ada di Yong Peng lebih kurang lapan kilometer.
"Jadi kalau ada sekolah yang dekat sini, ia akan memudahkan. Jadi kepadatan di Yong Peng itu akan (dapat) diselesaikan kerana Yong Peng itu ada dua sesi persekolahan.
"Jadi kalau ada (SMK Suria Jaya) kita boleh buat satu sesi sahaja," ujarnya lagi.
Ditanya apakah ia 'gula-gula' sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mohamad bagaimanapun menafikan perkara itu.
Katanya, ia merupakan tanggungjawab KPM untuk menyelesaikan segala permasalahan melibatkan isu pendidikan dan institusi di bawah kementerian itu tanpa mengira masa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan KPM turut memandang serius isu 'projek sakit' melibatkan kementerian itu.
Ujarnya, berdasarkan laporan Unit Perancang Ekonomi, KPM mencatatkan bilangan projek 'sakit' yang tertinggi di seluruh negara, berbanding kementerian-kementerian lain.
"Kita akan berbincang dengan beberapa teknikal kita di kementerian, dan kita akan dengar pandangan mereka.
"Kalau boleh kita akan melibatkan mana-mana kementerian teknikal yang lain lebih banyak dalam projek kementerian ini atau kita akan memperkenalkan satu pendekatan yang baharu.
"Kalau pun agensi pelaksana KPM sendiri tetapi menggunakan pendekatan baharu yang lebih terjamin dan dari segi kualiti dan juga penyampaian sesuatu projek itu," jelas Mohamad.