Tujuh tahun guna sijil halal tamat tempoh, KPDN serbu kilang muruku

Aida Aziz
Jun 12, 2024 11:30 MYT
Anggota penguat kuasa KPDN ketika membuat pemeriksaan di sebuah kilang memproses muruku. - Foto KPDN Perak
TAIPING: Hampir tujuh tahun menggunakan sijil halal tamat tempoh dan tidak sah ke atas enam jenis produk muruku.
Itu tindakan tidak bertanggunjawab sebuah kilang memproses muruku di Taman Pengkalan Maju, di sini yang diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, pada Selasa.
Menurut Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail, hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditanda logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan.
"Serbuan dijalankan pada jam 11 pagi oleh penguat kuasa KPDN Taiping dan didapati sijil pengesahan halal untuk produk dikeluarkan premis itu telah tamat tempoh pada 17 Mei 2017.
"Logo halal pada enam jenis produk muruku yang dikeluarkan adalah untuk edaran jualan sekitar utara Semenanjung Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan kes diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (perakuan dan penandaan halal) 2011.
Di samping bertindak menyita kesemua 1,580 unit produk makanan tersebut yang menggunakan logo halal tidak sah.
"Nilai barang rampasan dianggarkan berjumlah RM8,128.40.
"Kes disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (perakuan dan penandaan halal) 2011.
"Iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal," katanya lagi.
Kamalludin berkata, KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang.
#sijil halal tamat tempoh #kpdn #muruku #kilang
;