Tujuh strategi KPM diyakini mampu tangani isu beg sekolah berat - Dr Anuar
Dr Anuar Ahmad
Mac 6, 2022 20:13 MYT
Mac 6, 2022 20:13 MYT
HASIL tuntutan berterusan oleh ibu bapa, NGO dan masyarakat untuk KPM menyelesaikan isu beg sekolah berat, hari ini KPM telah bersetuju dan mengumumkan tujuh strategi yang akan dilaksanakan bagi menyelesaikan isu beg sekolah berat ini.
Sebagai pemerhati sistem pendidikan negara, saya menyambut baik keputusan KPM dan mengucapkan tahniah kepada Menteri Kanan Pendidikan kerana bersedia mendengar pandangan rakyat dan mengambil tindakan susulan untuk isu ini.
Tujuh strategi ini adalah hasil cadangan dari berbagai pihak diyakini akan dapat mengurangkan isu beg sekolah berat khususnya strategi penyediaan lokar (untuk sekolah dua sesi) dan membenarkan buku disimpan di dalam laci meja (sekolah satu sesi) untuk anak-anak tahap satu.
Begitu juga dengan strategi penggunaan buku teks digital, mengehadkan bilangan dan jumlah muka buku latihan serta penyelarasan pakaian sekolah untuk kelas di bawah Jakim.
Seperkara yang menarik ialah keputusan KPM untuk mengurangkan bilangan waktu mata pelajaran dalam jadual harian. Dengan arahan KPM yang mengehadkan hanya tiga hingga empat sahaja mata pelajaran setiap hari, bilangan buku teks dan buku latihan yang dibawa oleh murid-murid setiap hari dapat dikurangkan secara siknifikan. Ini satu keputusan yang baik dan tepat.
Tujuh strategi yang disenaraikan oleh KPM ini sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan isu beg sekolah berat dalam jangka pendek.
Bagaimanapun, KPM masih perlu melakukan usaha dan tindakan selanjutnya untuk mengurangkan isu beg sekolah berat ini untuk jangka panjang dengan melakukan semakan kurikulum kerana faktor utama yang menyumbang kepada beg sekolah berat ini adalah bilangan mata pelajaran yang masih banyak dan silibus setiap mata pelajaran yang juga padat.
Keputusan pihak KPM hari ini menunjukkan suara rakyat khususnya ibu bapa telah diambil perhatian sewajarnya oleh pihak KPM.
*Dr Anuar Ahmad adalah dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.