Tujuh sekolah di Terengganu ditutup kerana banjir
Bernama
Januari 23, 2024 10:15 MYT
Januari 23, 2024 10:15 MYT
KUALA TERENGGANU: Tujuh sekolah di dua daerah negeri ini terpaksa ditutup akibat dinaiki air berikutan hujan lebat sejak malam tadi.
Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, daerah terlibat termasuk Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.
Beliau berkata, sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Agama Kebangsaan (SMKA) Sheikh Abdul Malek; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman; SK Gelugor; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin, SK Kedai Buloh dan SK Lubuk Periuk.
"Tujuh sekolah tidak dapat beroperasi dan diberi cuti bencana kerana kawasan sekolah atau laluan ke sekolah dinaiki air.
"Untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), JPNT sudah bersiap sedia dan akan menggerakkan Ops Payung sekiranya keadaan semakin buruk," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar bandar raya Kuala Terengganu mendapati beberapa lokasi termasuk Jalan Sultan Omar, Jalan Pusara, Kuala Ibai dan Cabang Tiga telah dinaiki air.
Bagaimanapun, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini. - BERNAMA