Tujuh rentung: Jiran dengar jeritan, tidak dapat berbuat apa-apa

Bernama
Februari 26, 2020 19:03 MYT
Jurita Jumadi merupakan kakak kepada salah seorang mangsa yang rentung dalam satu kebakaran di Kampung Bandau Membakut awal pagi tadi. - Foto Bernama
Jiran mangsa dalam kebakaran yang meragut nyawa tujuh sekeluarga di Kampung Lampijas, Membakut dekat sini awal pagi tadi terdengar suara meminta tolong di tengah api yang membahang, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan api merebak dengan cepat.
Arianto Amal, 29, berkata dia menyedari kejadian itu pada kira-kira pukul 1.00 pagi selepas dikejutkan ibunya dan mendengar bunyi letupan dengan api dilihat sudah marak di rumah jirannya itu.
"Ketika itu barulah saya sedar tiada orang keluar dari rumah sebelum seorang lelaki terjun dari dalam rumah sambil meminta tolong. Saya juga terdengar suara meminta tolong dari dalam rumah namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sudah merebak," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata rumah berkenaan adalah rumah sewa yang diubah suai dengan dipasang jeriji besi, menyebabkan mangsa sukar untuk keluar menyelamatkan diri.
Dalam kejadian itu, seorang wanita bersama lima anak tirinya dan seorang anak angkat rentung terbakar, manakala suaminya, Romel Sharoif, 34, terselamat bersama seorang lagi anaknya dan seorang pekerja.
Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Nadia Jumadi, 25, Nana Romel, 14; Aisa Romel, 13; Shasha Romel, 10; Danial Romel, 7; Faisal Romel, 5; dan Samasan Romel berumur dua tahun.
Sementara itu, Rullah Absara, 54, berkata lima cucunya yang rentung dalam kebakaran itu adalah hasil perkahwinan anaknya Supiah Rullah, 30, dengan Romel dan kesemua cucunya dijaga Nadia yang juga isteri kedua Romel.
"Setahun sekali saja berjumpa dengan mereka (cucu) pada waktu Hari Raya. Hari ini saya dapat panggilan telefon dari anak saya (Supiah) pukul 5.00 pagi tadi, memberitahu anak-anaknya sudah tiada," katanya yang bekejar dari Putatan untuk melihat jenazah cucunya yang dibawa di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, tengahari tadi.
Sementara itu, kakak kepada Nadia, Jurita Jumadi, 32, yang menetap di Kota Kinabalu menerima berita menyayat hati itu pada 2.30 pagi tadi sebelum tiba di tempat kejadian 5.30 pagi, memaklumkan Nadia adalah anak keempat daripada lima beradik dan menjaga enam anak Romel hasil perkahwinan pertama suaminya itu dan seorang anak angkat berusia dua tahun.
"Sekarang saya sedang menunggu keluarga dari Nunukan dan Keningau untuk proses pengkebumian tetapi belum dapat dipastikan di mana akan dikebumikan," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata mayat Nadia ditemui berpelukan dengan anak angkatnya yang berusia dua tahun di bilik utama bersama-sama empat mangsa yang lain manakala mayat Nana ditemui di ruang tamu rumah.
-- BERNAMA
#Beaufort #bomba #Hospital #jenazah #kebakaran #Keningau #Kota Kinabalu #mayat #tujuh rentung #wanita
;