Tujuh rakyat tempatan antara yang dikenal pasti dalam pesta bogel - Polis

Bernama
Ogos 6, 2014 16:57 MYT
Tujuh rakyat tempatan antara yang dikenal pasti dalam pesta bogel - Polis
Tujuh rakyat tempatan adalah antara 15 individu yang dikenal pasti dalam pesta sukan bogel yang didakwa diadakan di pantai Teluk Kampi Taman Negara Pulau Pinang, kata polis.
Lapan lagi yang dikenal pasti ialah empat rakyat Singapura, dua rakyat Myanmar dan masing-masing seorang rakyat Filipina dan India.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika mendedahkan kerakyatan mereka yang terlibat dalam pesta sukan bogel itu, berkata mereka yang telah dikenal pasti itu terdiri daripada sembilan lelaki dan enam wanita.
"Buat masa ini polis sedang berusaha mengesan kesemua individu terbabit untuk membantu siasatan dan setakat ini 12 laporan polis telah diterima mengenai isu itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Pesta sukan bogel itu mula diperkatakan apabila video mengenainya tersebar secara meluas di laman sosial. Video berdurasi lima minit 52 saat bertajuk 'Pesta Bogel Di Teluk Bahang, Penang' itu memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita melukis di badan dalam keadaan bogel, menari serta mengadakan acara sukan di pantai Teluk Kampi.
Abdul Rahim berkata polis juga telah memanggil 10 orang yang mempunyai maklumat mengenai pesta itu bagi membantu siasatan.
"Mereka ini bukan individu yang kami kenal pasti terlibat dalam pesta itu," katanya.
Berdasarkan laporan Pejabat Taman Negara Pulau Pinang yang diedar kepada media pada sidang akhbar Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini, penganjuran pesta sukan bogel itu berselindung di sebalik aktiviti berbentuk penjagaan alam semula jadi.
Pejabat Taman Negara Pulau Pinang dalam laporan yang diserah kepada kerajaan negeri itu menyebut bahawa penganjuran aktiviti berkenaan dipercayai oleh komuniti yang mengamalkan budaya songsang dan tidak bermoral.
"Pihak jabatan mengecam perbuatan yang tidak bermoral itu. Perkara ini akan disiasat secara serius dan tindakan sewajarnya akan diambil. Pihak Taman Negara juga telah memohon pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) membantu menjalankan siasatan dalaman yang akan dilakukan secara terperinci," menurut laporan itu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng pada sidang akhbar itu sekali lagi menegaskan bahawa pesta sukan bogel itu adalah di luar pengetahuan kerajaan negeri.
Sambil mengatakan bahawa kawasan Taman Negara itu adalah di bawah kawal selia Taman Negara, Lim berkata perkara itu adalah di luar bidang kuasa kerajaan negeri dan kerajaan DAP Pulau Pinang menyerahkannya kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah pada sidang akhbar di Pejabat Taman Negara Pulau Pinang, berkata siasatan dalaman akan dijalankan untuk menyiasat kemungkinan peronda bertugas ketika program itu menerima ugutan daripada peserta aktiviti berkenaan.
"Dalam rekod perhilitan, tidak dinyatakan aktiviti tidak bermoral itu dan peronda juga tidak membuat laporan polis, jadi siasatan dalaman itu perlu untuk tahu sama ada peronda diugut atau sebagainya.
"Sebelum ini, memang terdapat beberapa kes ugutan yang diterima peronda ketika bertugas seperti apabila mereka menegur sesetengah aktiviti yang dilakukan pengunjung, mereka pula yang diberi amaran," katanya.
Beliau berkata segala maklumat mengenai peserta program sukan bogel itu telah diserah kepada polis untuk siasatan lanjut dan berharap tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Ini bukan sekadar isu Taman Negara Pulau Pinang ataupun isu Teluk Bahang tetapi ia adalah isu nasional, apa yang berlaku ternyata bukan amalan dan budaya masyarakat Asia, ia adalah contoh yang tidak baik untuk generasi akan datang," katanya.
#pesta bogel #pulau pinang
;