Tujuh premis musnah dalam kebakaran di Setapak

Bernama
Januari 18, 2013 23:33 MYT
Tujuh premis termasuk empat bengkel kenderaan sederet di Kampung Air Lanjut, Setapak di sini, musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada pembakaran sampah.
Ketua Balai Bomba Setapak Suki Annuar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 7.45 malam dan empat jentera bomba dari Balai Bomba Setapak, Balai Bomba Hang Tuah, Balai Bomba Keramat dan Balai Bomba Wangsa Maju dikejarkan ke tempat kejadian.
Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Menurutnya kebakaran dipercayai berpunca daripada pembakaran sampah berhampiran bengkel terbabit yang kemudian merebak ke bengkel lain, bagaimanapun punca sebenar serta jumlah kerugian masih disiasat.
Sementara itu, Abdul Rahim Musa, 50, pemilik bengkel motosikal yang terlibat, berkata ketika kejadian beliau sedang bersiap untuk menutup bengkel sebelum terhidu bau asap dan ternampak kepulan asap dari tempat pembakaran sampah di luar kawasan bengkel.
"Saya tidak sempat mengeluarkan barang-barang di bengkel dan jumlah kerugian dianggar sebanyak RM100,000 secara keseluruhan," katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak 10 tahun lepas.
#Kampung Air Lanjut #kebakaran #Setapak #Suki Annuar
;