Tujuh peserta ekspedisi ditemui selamat - Bomba

Bernama
Disember 24, 2014 08:08 MYT
Kesemua mangsa itu ditemui dalam keadaan selamat di Gunung Basur dan usaha membawa mereka pulang sedang giat dijalankan - Bomba
Tujuh peserta ekspedisi yang dilaporkan tersesat ketika merentasi Gunung Stong dan Gunung Basur, Jeli, dua hari lalu ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat pada Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Azmi Osman berkata mereka - lima lelaki dan dua wanita ditemui oleh anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dari JBPM pada pukul 2.45 petang.
"Kesemua mangsa itu ditemui dalam keadaan selamat di Gunung Basur dan usaha membawa mereka pulang sedang giat dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini.
Azmi berkata usaha membawa turun kesemua mangsa dijangka memakan masa selama dua jam bergantung pada faktor cuaca dan keadaan permukaan di kawasan tersebut.
"Namun kita akan memberikan yang terbaik bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat," katanya.
Katanya, kesemua mangsa sepatutnya sampai kembali ke tempat persinggahan di Kem Sungai Terang di kaki gunung berkenaan pada Ahad lalu (21 Dis) namun gagal berbuat demikian.
#Gunung Basur #Gunung Nering #Gunung Stong #hilang #jeli
;