Tujuh penyokong bola sepak cetus provokasi didakwa

Sinar Harian
Ogos 23, 2024 11:59 MYT
Tujuh lelaki yang didakwa mencetuskan provokasi ketika perlawanan Liga Super di antara Perak menentang JDT, Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas dua pertuduhan. - Foto Sinar Harian
IPOH: Tujuh lelaki yang didakwa mencetuskan provokasi ketika perlawanan Liga Super di antara Perak menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas dua pertuduhan.
Tertuduh, Muhammad Ikhwan Muizzuddin Vira, 25; Muhammad Danish Hayqal Md Hanapi, 21; Mohamad Zulhisyam Ramdan, 21; Muhammad Syawal Aiman, 21; Mohammad Khairul Aizam Mohd Rizan, 26; Muhammad Sufian Zamri, 32 dan Muhammad Hasif Md Rahim, 28, mengangguk faham atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa berkelakuan aib dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan mengeluarkan isyarat jari tengah kepada penyokong bola sepak JDT pada jam lebih kurang 10.45 malam di Stadium Indera Mulia, Persiaran Bulan, Kompleks Sukan di sini pada 17 Ogos 2024.
Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 334 Kanun Keseksaan membawa hukuman denda tidak melebihi RM100.
Bagi pertuduhan tersebut, Mohamad Zulhisyam, Muhammad Sufian dan Muhammad Hasif mengaku bersalah dan mahkamah menjatuhi hukuman denda RM100 setiap seorang dan penjara selama sehari jika gagal membayar denda tersebut.
Sementara Muhammad Ikhwan, Muhammad Danish Hayqal, Muhammad Syawal dan Mohammad Khairul Aizam mengaku tidak bersalah dan memohon untuk kes tersebut dibicarakan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM100 kepada keempat-empat tertuduh tersebut dan 10 Oktober depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu bagi pertuduhan kedua, ketujuh-tujuh tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam dengan tidak memberi kerjasama ketika pemeriksaan polis dalam menjalankan kerja-kerja jawatannya pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 186 kanun keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau dengan kedua- duanya.
Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan dan meminta dibicarakan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria menawarkan jaminan RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Namun, peguam yang mewakili semua tertuduh, Ng Yun Khong dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon kepada mahkamah agar jumlah tersebut dikurangkan seminimum mungkin.
Hakim, S Punitha kemudiannya menetapkan jumlah jaminan RM1,500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan tarikh 10 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.
Pada 18 Ogos lalu, media melaporkan seramai lapan individu termasuk remaja diberkas dalam insiden provokasi membabitkan penyokong Perak FC dan JDT di Stadium Perak, di sini pada Sabtu.
Kejadian berlaku sejurus perlawanan Liga Super itu ditamatkan membabitkan lelaki warga tempatan berusia antara 16 hingga 32 tahun.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sebelum itu kesemua mereka dikesan telah melakukan kekecohan dan membaling botol ke arah polis yang bertugas. - Sinar Harian
#Liga Super #mahkamah majistret ipoh #penyokong bola sepak #kata-kata kesat
;