Tujuh penyamun pelarian UNHCR tumpas, polis selesai 24 kes pecah rumah

Astro Awani
November 12, 2019 19:52 MYT
Othman berkata, sejak Ogos 2019, pihak polis menerima banyak laporan kejadian pecah rumah dan curi yang mendatangkan rasa bimbang masyarakat. - Astro AWANI
Sekumpulan penyamun warga Myanmar yang berpura-pura menawarkan khidmat cuci rumah atau memotong rumput di beberapa kawasan di Kuantan khususnya di Jaya Gading dan Perkampungan Pandan, Kuantan, telah ditangkap polis di Perkampungan Batu 10 Jalan Gambang dalam 'Ops Pintu' pada 25 Oktober lalu.
Modus operandi mereka adalah pada waktu siang dengan mengetuk pintu dan memberi salam untuk mengetahui rumah itu berpenghuni atau tidak, sebelum mengumpil jeriji tingkap atau pintu.
Seterusnya, jika rumah yang diketuk itu berpenghuni, suspek akan berpura-pura menawarkan khidmat cuci rumah atau memotong rumput.
Tujuh warga Myanmar yang digelar 'Geng Rahman' merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan telah tinggal di negara ini sejak tiga tahun lalu.
Mereka telah ditangkap bersama dua lagi warga tempatan bersama lebih 100 barang kes.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Othman Nanyan berkata dengan penangkapan itu polis berjaya menyelesaikan 24 kes pecah rumah dan curi di daerah Kuantan membabitkan kawasan Jaya Gading dan Perkampungan Pandan
"Dalam modus operandinya, apabila tuan rumah mangsa meninggalkan rumah untuk keluar pergi bekerja, suspek penjenayah ini akan datang ke rumah. Mereka datang dan akan ketuk pintu, beri salam.
"Kalau ada penghuni rumah, mereka akan tawarkan buat kerja khususnya kerja cuci rumah, kerja-kerja potong rumput dan sebagainya.
"Dalam keadaan tuan rumah tak ada di rumah, mereka akan umpil rumah pintu umpil tingkap masuk melalui jalan yang mudah dan akan mengeledah rumah," ujar Othman.
Othman berkata, sejak Ogos 2019, pihak polis menerima banyak laporan kejadian pecah rumah dan curi yang mendatangkan rasa bimbang masyarakat.
Polis juga tidak menolak kemungkinan kumpulan ini mempunyai beberapa kes di negeri-negeri lain.
Kesemua sembilan suspek berusia 19 hingga 35 tahun itu kini ditahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
#geng rahman #jenayah #Kuantan #Masyarakat #ops pintu #PDRM #pelarian #penyamun #polis #UNHCR #warga myanmar
;