Tujuh pekerja sekolah memandu cemas terperangkap banjir
Sinar Harian
Jun 4, 2023 14:03 MYT
Jun 4, 2023 14:03 MYT
KUALA SELANGOR: Seramai tujuh pekerja sebuah institut memandu di Jalan Kuala Selangor, Ijok di sini cemas terperangkap kira-kira 30 minit dalam banjir pada Ahad.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa giat dijalankan menggunakan bot fiber ke tempat selamat.
"Semua mangsa terperangkap dianggarkan berusia 18 hingga 55 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Wan Md berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.02 tengah hari dan seramai lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya bergegas ke tempat kejadian.
"Sampai di lokasi dilaporkan terdapat kejadian banjir di kawasan tersebut dengan kedalaman satu meter," ujarnya.
Beliau berkata, semasa kejadian semua mangsa sedang bekerja dan mereka terperangkap dalam pejabat institut memandu itu selepas air melimpah masuk ke kawasan berkenaan.
"Air masih lagi bergenang di sekitar lokasi kejadian dengan kedalaman satu meter, namun usaha memindahkan semuanya sedang giat dijalankan," tambahnya. -Sinar Harian