Tujuh PATI Indonesia ditahan jadikan Batu Layar laluan keluar dan masuk negara
Ernalisa Othman
Julai 7, 2020 12:54 MYT
Julai 7, 2020 12:54 MYT
Cubaan tujuh warga Indonesia yang menggunakan lokasi Ladang Kurnia, Batu Layar, Kota Tinggi, Johor sebagai laluan keluar dan masuk ke negara ini gagal selepas diberkas Rejimen ke 61, Artileri Diraja, Tentera Darat Malaysia, 4.30 pagi Selasa.
Tangkapan itu melibatkan dua lelaki dan seorang wanita yang ingin pulang manakala empat wanita lagi baru tiba dari Indonesia.
Markas 3 Divisyen dalam satu kenyataan berkata, semua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu dianggarkan berusia antara 23 hingga 42 tahun.
Selain itu, turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM4,310, 4 juta Rupiah, barang kemas dan 11 telefon bimbit dengan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM28,000.
Pihaknya sedang mengesan saki-baki pendatang tanpa izin termasuk individu yang bergelar tekong.
Mereka dibawa ke Balai Polis Bayu Damai sebelum menjalani ujian saringan Covid-19 di Pejabat Kesihatan Kota Tinggi.