Tujuh nelayan warga Vietnam diberkas mencuri hasil laut
Astro Awani
Januari 18, 2019 05:36 MYT
Januari 18, 2019 05:36 MYT
Tujuh nelayan warga Vietnam bersama tekong diberkas ketika leka mencuri hasil laut negara.
Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata kesemua nelayan yang berusia 22 hingga 51 tahun itu ditahan pada jam 9.25 pagi Khamis.
Menurut Rashidilhadi ketika ditahan kesemua mereka sedang menangkap ikan dengan menggunakan rawai pada kedudukan 101 batu nautika dari Kuala Kemaman.
“Seperti yang kita sedia maklum, sekarang masih lagi musim monsun Timur Laut dan tarikan kepada nelayan-nelayan asing ini untuk terus menangkap ikan di perairan negara.
“Kurangnya nelayan kita yang menangkap ikan laut dalam yang menyebabkan nelayan-nelayan asing gemar menangkap ikan di perairan negara kita,” katanya.
Beliau berkata kes tersebut merupakan tangkapan yang pertama bagi tahun 2019.
Jelasnya hasil pemeriksaan lanjut kesemua nelayan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah manakala bot tersebut tiada permit kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara.
Rashidilhadi berkata hasil rampasan dianggarkan RM400,000 termasuk hasil tangkapang, bot serta peralatan menangkap ikan.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.