Tujuh lelaki ditahan dalam sindiket palsukan pasport antarabangsa
Bernama
Disember 5, 2014 19:22 MYT
Disember 5, 2014 19:22 MYT
Polis membongkar sindiket memalsukan pasport antarabangsa dan cop Jabatan Imigresen Malaysia setelah menahan tujuh lelaki rakyat asing dalam serbuan di sebuah rumah di Bayan Baru, dekat sini
tengah malam tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata rumah yang didiami tujuh lelaki yang dipercayai anggota sindiket terbabit diserbu pada pukul 12.50 tengah malam hasil maklumat awam dan risikan.
"Hasil siasatan ke atas empat lelaki Bangladesh, dua Indonesia dan seorang Myanmar itu membawa polis ke sebuah bilik di rumah berkenaan yang dijadikan 'pejabat' untuk menghasilkan pasport antarabangsa palsu.
"Kami menemui 17 pasport antarabangsa antaranya Bangladesh, Filipina, Indonesia dan Myanmar serta cop Jabatan Imigresen Malaysia, cop kedutaan dan peralatan membuat pasport dalam bilik berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas wang tunai RM715 dipercayai sebahagian daripada hasil pengeluaran pasport palsu sindiket berkenaan.
Abdul Rahim berkata sindiket itu beroperasi di rumah berkenaan sejak awal tahun ini dan dipercayai sebelum ini kumpulan terbabit sentiasa berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain.
"Polis percaya tugas tujuh lelaki terbabit yang bekerja di restoran dan kafe di sekitar Bayan Baru itu ialah membantu menghasilkan pasport sebelum menjual kepada pihak tertentu," katanya.
Beliau berkata polis juga telah mengenal pasti dalang sindiket terbabit dan usaha mengesan lelaki rakyat asing itu giat dijalankan.