Tujuh lagi positif COVID-19 adalah banduan Kluster Penjara Reman
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 10, 2020 15:26 MYT
Oktober 10, 2020 15:26 MYT
GEORGE TOWN: Tujuh lagi banduan yang positif COVID-19 seperti disahkan semalam membabitkan Kluster Penjara Reman di Penjara Reman Pulau Pinang tinggal di dalam sel sama dengan lapan orang yang turut positif sebelum ini.
Dalam sel yang sama, seorang lelaki meninggal dunia akibat virus berkenaan pada 5 Oktober lepas.
Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, kesemua 14 banduan itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
"Mereka ini merupakan banduan daripada sel sama dengan banduan yang meninggal dunia pada 5 Oktober lalu dan tujuh lelaki yang juga positif sebelum ini, setakat ini kami belum tahu punca bagaimana semua mereka dijangkiti penyakit itu.
"Kami juga telah mengasingkan banduan atau petugas yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang dijangkiti dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 di dalam penjara," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mohamed Jusoh berkata, sehingga Jumaat kira kira 1,000 daripada 2,300 banduan yang berada di dalam penjara sudah disaring.
Menurutnya, semua 320 petugas di Penjara Reman Pulau Pinang juga telah selesai menjalani ujian saringan COVID-19 dan tiada kakitangan yang didapati positif penyakit itu.
Ketika ini ujian saringan COVID-19 ke atas banduan masih diteruskan.
"Kami akan pastikan semua banduan yang berada dalam penjara menjalani ujian saringan COVID-19, saya bagi pihak Penjara Reman Pulau Pinang mengucapkan terima kasih atas kerja keras pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus lumus setiap hari memastikan banduan menjalani ujian saringan," katanya.
Beliau berkata sejak terdapat kes COVID -19 di Penjara Reman Pulau Pinang pada 5 Oktober lalu, tiada banduan baharu yang dimasukkan ke penjara itu.
Mereka dihantar ke Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dijadikan penjara sementara untuk dikuarantinkan.
Pada 5 Oktober lalu, seorang lelaki dilaporkan tidak sedarkan diri didalam sel penjara reman dan meninggal dunia di HPP dan disahkan positif COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada Rabu lalu memaklumkan, terdapat satu kluster baharu iaitu Penjara Reman di penjara berkenaan selepas saringan mendapati tujuh orang postif pandemik itu.
Sementara pada Khamis, seorang lagi banduan di penjara itu disahkan positif COVID-19 manakala tujuh lagi kes disahkan positif direkodkan pada Jumaat menjadikan keseluruhan kes Kluster Penjara Reman sebanyak 15 kes dengan 1 kematian.