Tujuh kumpulan sindiket aktif tukar ketum dengan dadah di sempadan - KPN
Fareez Azman
November 24, 2020 22:30 MYT
November 24, 2020 22:30 MYT
KUALA LUMPUR: Tujuh sindiket penyeludupan melibatkan rakyat Malaysia dikenal pasti aktif menggunakan laluan tikus di sempadan Thailand-Malaysia di Padang Besar yang menjadi lokasi dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditembak awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, kesemua sindiket itu dipercayai menggunakan sistem barter iaitu menukar daun ketum dengan dadah dari Thailand.
"Sudah lama tujuh kumpulan ini aktif, mereka (suspek warga Malaysia) tidak bersenjata... yang bersenjata di pihak Thailand.
"Mereka tidak mampu melepasi tembok sempadan, sebab itu dibuang (barangan) melepasi tembok dan pagar... menggunakan tangga.
"(Anggota sindiket dari) Malaysia gunakan denai itu (lokasi kejadian)... di mana guni syabu ditinggalkan, seolah olah sudah ada komunikasi di situ.
"Kita sudah dapat maklumat kawasan tersebut... sebab itu bukan sahaja pasukan Komando VAT69, kita ada elemen lain turun (sudah ditempatkan) di situ (sebelum ini).
"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Perlis sudah ada perancangan melakukan tangkapan beramai-ramai," katanya pada sidang media di Bukit Aman malam ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat, urus niaga membabitkan daun ketum yang diseludup ke Thailand itu menggunakan sistem barter.
"Maknanya daun ketum Malaysia masuk ke Thailand dan yang masuk dari sana adalah seperti dadah jenis syabu, pil kuda... tiada cash transaction," katanya lagi.
Untuk rekod, harga pasaran gelap daun ketum yang ditanam di utara Malaysia boleh mencecah sehingga RM1,000 seguni dan mendapat permintaan tinggi di negara jiran.
Dalam pada itu, mengenai kemungkinan undang-undang membabitkan daun ketum di negara ini yang terlalu ringan menyebabkan sindiket penyeludupan semakin berani menjalankan aktiviti jenayah rentas sempadan, beliau berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan pihak bertanggungjawab.
"Perkara ini telah dibincangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM)
"Insya-Allah perkara ini akan dimuktamadkan tidak lama lagi," katanya yang mengakui ada kekeliruan membabitkan undang-undang berkaitan daun ketum apabila aktiviti penanaman dianggap tidak menjadi kesalahan.
#PGA
#ditembak
#penyeludupan
#sempadan
#malaysia-thailand
#daun ketum
#Dadah
#Barter
#sistem barter
#Ketua Polis Negara
#Hamid Bador