Tujuh kontena susu tepung dari Ireland, Belanda bernilai RM2 juta dirampas
Dewi Nur Harasha Alias
November 29, 2020 19:35 MYT
November 29, 2020 19:35 MYT
BUTTERWORTH: Tujuh kontena susu tepung dari Ireland dan Belanda bernilai RM2 juta dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang kerana dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.
Susu tepung seberat lebih 191 tan itu dirampas semasa pemeriksaan dilakukan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang kira-kira jam. 5.45 petang Jumaat.
Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata 7,660 paket serbuk susu itu didapati tidak mematuhi syarat yang ditetapkan pada permit import MAQIS.
"Semasa pemeriksaan dilakukan, MAQIS mendapati syarikat berkenaan gagal menunjukkan permit import yang dibenarkan.
"Berikutan itu, susu tepung itu dirampas dan tindakan lanjut akan dikenakan terhadap pemilik dagangan kerana tidak mempunyai permit import yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya.
Zarina berkata, MAQIS memandang serius isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.
Katanya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.
#susu tepung
#maqis
#Ireland
#Belanda
#dirampas
#kontena
#tiada permit import
#dibawa masuk tidak sah
#Zarina Ramli