Tujuh kereta rosak dihempap pokok tumbang
Sinar Harian
Mei 27, 2024 18:15 MYT
Mei 27, 2024 18:15 MYT
Pokok tumbang menghempap tujuh buah kereta di Taman Kinrara pada Isnin. -Foto Sinar Harian
SUBANG JAYA: Sebanyak tujuh buah kereta di kawasan parkir di Taman Kinrara di sini rosak dihempap pokok susulan hujan lebat dan ribut, petang Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.24 petang.
"Seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh lapan kilometer," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ahmad Mukhlis berkata, Komander Operasi melaporkan sebatang pokok tumbang telah menghempap tujuh buah kereta.
"Kerja-kerja untuk mengalihkan pokok tersebut sedang dijalankan, tiada mangsa terlibat dalam insiden tersebut," katanya. -Sinar Harian