Jerebu kembali melanda negara dengan tujuh kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Tujuh kawasan berkenaan membabitkan negeri Johor, Pahang dan Terengganu.

Pencerapan Jabatan Alam Sekitar sehingga 10 pagi tadi menunjukkan Pasir Gudang mencatat 199, Larkin Lama, 192 dan Kota Tinggi, 133.

Di Pahang IPU tidak sihat dicatatkan di Balok Baru, Kuantan, 159, dan Indera Mahkota, Kuantan, 136.

Sementara itu di Terengganu, Kemaman mencatat 150 dan Paka, 110.

30 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan IPU sederhana.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk mengetahui bacaan IPU semasa.