Tujuh juta lagi dos vaksin Pfizer sedang dirunding - Dr Adham Baba

Hasimi Muhamad
Februari 10, 2021 16:47 MYT
Menurut Datuk Seri Dr Adham Baba, ketika ini sebanyak 20 peratus bekalan vaksin Pfizer dijangka diterima Malaysia sebelum 26 Februari ini - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kerajaan akan menambah bekalan vaksin sebanyak tujuh juta lagi dos daripada syarikat Pfizer.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tambahan berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan yang akan diterima Malaysia adalah hampir 50 peratus vaksin comirnaty Pfizer.
Ketika ini, kata beliau, sebanyak 20 peratus bekalan vaksin Pfizer dijangka diterima sebelum 26 Februari ini.
"Kita sedang giat untuk memastikan kita dapat 20 peratus vaksin Prizer (lagi) dan kita akan tambah sebanyak tujuh juta dos lagi iaitu menjadikan ia hampir 50 peratus liputan (vaksin Pfizer).
"Namun, ini masih perlu lagi berunding dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa peruntukan sebanyak RM3 bilion untuk pembelian vaksin.
"Setakat ini (kita) hanya belanjakan untuk pembelian dari COVAX, Prizer dan AstraZeneca," katanya pada Sesi Bersama Media di Putrajaya pada Rabu.
BACA: COVID-19: Lebih 70 peratus rakyat Malaysia sedia terima vaksin - Kajian
BACA: Boleh setuju untuk tidak terima vaksin, tapi jangan kempen - Menteri Kesihatan
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, KKM telah pun membuat rundingan khas bersama Pfizer untuk memastikan bahawa bekalan vaksin dihantar lebih awal.
Katanya, ia bagi membolehkan program vaksinasi dimulakan segera khususnya kepada petugas-petugas kesihatan yang akan memberikan suntikan vaksin kepada masyarakat.
"kita ada 600 lokasi untuk memberikan vaskinasi dan satu lokasi kita ada tujuh orang yang akan memberikan vaksinasi.
"Katakan seorang vaksinator boleh beri 30 (suntikan) sehari maka kita dapat memberikan vaksinasi seramai 120,000 sehari.
"Untuk bekalan, bekalan yang kita dapat dari Pfizer telah dirunding elbih awal dari 26 Februari dan kemungkinan besar kita boleh beri vaksinasi lebih awal dari 26 Februari," katanya.
Kerajaan pada 24 November tahun lalu mengumumkan negara akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.
#Putrajaya #KKM #COVID-19 #program vaksinasi #Bekalan vaksin Pfizer #AstraZeneca #Dr Adham Baba
;