Tujuh individu direman dua hari bagi bantu siasatan himpunan Bersih 5 dan Baju Merah

Astro Awani
November 20, 2016 23:07 MYT
Peserta perhimpunan Bersih 5 duduk di jalan raya di hadapan KLCC, pada 19 Nov, 2016. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membenarkan tujuh individu direman dua hari bagi membantu siasatan perhimpunan Bersih 5.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Rusdi Mat Isa yang mengesahkan mengenai perkara itu, berkata, perintah reman itu bermula Ahad dan berakhir pada Isnin.
Mereka ialah, ahli parlimen Batu, Tian Chua; ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji, Howard Lee; serta tiga aktivis Bersih, Muhammad Luqman Nul Haqim, Hishamuddin Rais, dan Fahmi Reza.
BACA: Bersih 5: Tian Chua, Zuraida ditahan polis
BACA: Bersih 5: Armand, Howard Lee ditahan polis
BACA: LAPOR LANGSUNG Bersih 5 di Kuala Lumpur
Polis turut mendapat perintah reman ke atas seorang pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang juga Exco Pemuda UMNO.
Kesemuanya disiasat mengikut seksyen 147/511 Kanun Keseksaan.
Manakala 10 individu yang ditahan pada 18 November lalu telah dibebaskan, termasuk bekas Ahli Exco Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew dan peguam, Mandeep Singh Karpal Singh.
Selain mereka, turut dibebaskan anggota DAP Wong Chee Wai @Jimmy Wong dan anggota jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvam.
Selain itu, turut dibebaskan aktivis pelajar Muhamad Luqman Nul Haqim Zul Razali, Anis Syafiqah Md Yusof, Lee Khai Meng dan Safwan Anang@Talib.
Dua aktivis Baju Merah yang dibebaskan pula ialah Hairol Nizam Md Nor dan Razali Zakaria.
Seramai 20 pemimpin dan aktivis ditahan dalam tempoh dua hari sejak Jumaat lalu berhubung dengan perhimpunan haram Bersih 5 dan Baju Merah yang berlangsung di ibu kota, semalam.
Mereka yang masih ditahan ialah Naib Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Batu Tian Chua, Pemimpin Baju Kuning Hishammuddin Rais, Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, aktivis Fahmi Reza dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How.
Selain itu, masih ditahan adalah Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos, Anggota exco Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifa dan pemimpin Baju Merah Ariffin Abu Bakar@Ipin Keramat.
#Armand Azha #Baju Merah #Bersih 5 #Fahmi Reza #Hishamuddin Rais #Howard Lee #Muhammad Luqman Nul Haqim #Tian Chua #Zuraida Kamaruddin
;