Tujuh individu dipanggil beri keterangan berkaitan perhimpunan 21 Ogos

Bernama
Ogos 13, 2021 15:40 MYT
DELLHAN: Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Facebook Polis Dang Wangi
KUALA LUMPUR: Tujuh aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berkaitan perhimpunan #Lawan pada 21 Ogos ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi Bernama mengesahkan kesemua mereka hadir di IPD berkenaan.
"Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Beberapa individu lain akan turut dipanggil dalam tempoh terdekat," katanya.
Pada 7 Ogos lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan itu.
Acryl Sani menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai perhimpunan itu.
-- BERNAMA
#polis #PDRM #Sekretariat Solidariti Rakyat #ssr #Dang Wangi #beri keterangan #lawan #Noor Dellhan Yahaya #Akta Komunikasi dan Multimedia
;