Tujuh garis panduan berkaitan perlindungan data peribadi dalam Akta 709 - Gobind

Bernama
Januari 16, 2024 18:00 MYT
Gobind berkata, garis panduan itu dibangunkan oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) melalui Pesuruhjaya PDP dan syarikat di bawah Kementerian Kewangan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Garis Panduan Notifikasi Ketirisan Data Peribadi dan Garis Panduan Pegawai Perlindungan Data adalah antara tujuh garis perkara yang akan dibangunkan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata garis panduan itu dibangunkan oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) melalui Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) dan syarikat di bawah Kementerian Kewangan iaitu Futurise Sdn Bhd.
"Ia bagi menetapkan keperluan minimum dan langkah praktikal dalam mengurus serta melindungi data peribadi dalam kawalan mana-mana individu atau organisasi yang memproses data peribadi dalam negara," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pesuruhjaya PDP dan Futurise di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPDP merangkap Pesuruhjaya PDP Profesor Dr Mohd Nazri Kama dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Rosihan Zain Baharudin dengan disaksikan oleh Gobind serta Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Rodzi Md Saad.
Lima garis panduan lain ialah Panduan Hak Mudah Alih Data; Mekanisme dan Pelaksanaan Pemindahan Data Merentas; Penilaian Impak Perlindungan Data; Mereka Bentuk Berdasarkan Privasi serta Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan.
Gobind berkata Futurise dilihat memiliki keupayaan serta kemahiran dalam membantu Pesuruhjaya PDP menghasilkan standard dan garis panduan komprehensif selain menambah baik Standard Perlindungan Data Peribadi yang telah dibangunkan pada 2015.
Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam proses pengurusan pendigitalan portal perlindungan data peribadi bagi membolehkan semua pengguna data yang ditakrifkan di bawah Akta 709 melaksanakan transaksi dalam talian untuk proses pendaftaran baharu pegawai perlindungan data.
Beliau berkata perkembangan ekonomi pesat dan inovasi teknologi terkini menyebabkan peningkatan mendadak dalam pemprosesan data peribadi selain menimbulkan risiko terhadap ketirisan data peribadi yang perlu dikawal.
Gobind berkata kewujudan amalan pegawai perlindungan data dan notifikasi ketirisan data peribadi merupakan antara praktis yang diterima di peringkat antarabangsa iaitu pegawai tersebut bertanggungjawab memastikan pengguna mematuhi undang-undang perlindungan data peribadi serta melaksanakan pengauditan dalaman.
"Adalah penting kita mewujudkan rangka kerja teguh bagi melindungi data peribadi rakyat dan MoU ini amat penting sebagai usaha menyokong inisiatif pendigitalan negara," katanya.
Beliau berkata Akta 709, yang dalam proses semakan sejak 2018, dijangka dibentangkan pada sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini dengan draf pindaan rang undang-undang tersebut kini di Jabatan Peguam Negara untuk dimuktamadkan.
"Cukup penting untuk bawa satu pindaan kali pertama melibatkan Akta 709 yang akan fokus kepada keperluan masa sekarang dan sebab itu, tujuh garis panduan tersebut akan dibangunkan," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Akta 709 adalah bertujuan mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan serta bersampingan dengannya.
-- BERNAMA
#garis panduan #perlindungan data #AKta 709 #Gobind Singh Deo
;