Tujuh ditahan tunggang motosikal ala Superman
Sinar Harian
Januari 1, 2023 06:30 MYT
Januari 1, 2023 06:30 MYT
PORT DICKSON: Tujuh samseng jalanan yang mempamerkan aksi menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Seremban-Port Dickson di sini mengundang padah selepas ditahan polis pada Ahad.
Tangkapan kesemua penunggang itu dilakukan secara berasingan menerusi Op Khas Samseng Jalanan bermula jam 9 pagi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Menurut sumber, kesemua penunggang itu dikesan melakukan aksi superman dan zig-zag yang membahayakan kepada diri serta pengguna jalan raya lain.
"Tangkapan pertama membabitkan tiga penunggang sebelum menahan dua lagi penunggang di lokasi berlainan.
"Operasi seterusnya kemudian berjaya mengesan dua lagi penunggang yang melakukan aksi berbahaya terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambahnya, kesemua motosikal jenis Yamaha 125ZR, Yamaha Y15ZR, Yamaha 135LC dan Yamaha Lagenda 115Z FI telah dirampas untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemeriksaan mendapati penunggang terbabit terdiri daripada remaja lelaki berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun.
"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya. -Sinar Harian
#tunggang motosikal ala superman
#Yamaha Y15ZR
#Op Khas Samseng Jalanan
#Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik