Tujuh cedera kemalangan kereta dan lori treler di LPT

Azee Shafy
Julai 8, 2023 10:16 MYT
Beginilah keadaan kereta Honda Accord yang remuk di bahagian depan setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 215.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur, pagi tadi. - Gambar ihsan bomba
KUANTAN : Tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Kilometer (KM) 215.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur, pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.47 pagi, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas bergegas ke lokasi kejadian.
"Apbila tiba di lokasi, Komander Operasi melaporkan benar berlaku kemalangan yang melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord dengan lori treler.
"Akibat kemalangan itu, kereta itu remuk di bahagian depan manakala lori treler tersebut terbalik di pembahagi jalan menyebabkan lima lelaki dewasa dan dua wanita dewasa mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Bagaimanapun, jelas Zulfadli, kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.
Mangsa telah dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan dan tindakan selanjutnya.
#kemalangan #kereta dan lori treler #Lebuhraya Pantai Timur #tujuh orang cedera
;