Tujuh banduan diberi pelepasan berlesen selama tujuh hari
Bernama
Februari 5, 2013 23:07 MYT
Februari 5, 2013 23:07 MYT
Jabatan Penjara Malaysia buat pertama kali melaksanakan pelepasan banduan secara berlesen selama tujuh hari bertujuan pemulihan banduan melalui penglibatan keluarga.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata seramai tujuh banduan dilepas secara berlesen di seluruh negara dan mereka akan dibawa oleh keluarga mereka untuk meluangkan masa di rumah selama tujuh hari mulai hari ini.
"Pelepasan diberi atas alasan seperti merapatkan hubungan kekeluargaan, mencari peluang pekerjaan, perancangan masa depan dan lain-lain perkara yang difikir wajar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perjumpaan 1Malaysia penghuni dan keluarga Penjara sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina, di Penjara Kajang, dekat sini hari ini.
Beliau berkata pelepasan berlesen itu, yang pertama kali diberikan penjara mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995, adalah satu keistimewaan hanya untuk banduan yang layak dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Antara syarat yang ditetapkan ialah banduan itu telah menjalani hukuman tidak kurang dari empat tahun, mempunyai baki hukuman tidak lebih dari setahun dan tidak kurang dari dua bulan serta berada dalam peringkat empat dan ke atas.
"Jika seorang ingkar pada pematuhan syarat, kami akan tarik balik pelepasan berlesen ini," katanya.
Mengenai Perjumpaan 1Malaysia, Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar dalam ucapannya berkata seramai 2,894 anggota keluarga dan 658 penghuni terlibat dalam program itu yang dijalankan serentak di seluruh negara.
Seorang banduan yang mendapat pelepasan berlesen dan hanya mahu dikenali sebagai Lau, 44, menyifatkan pemberian itu adalah satu rahmat kepadanya untuk bertemu anak perempuan dan cucu lelakinya setelah 12 tahun dikurung dalam tirai besi.
Dipenjarakan selama 13 tahun kerana memiliki dadah pada 2001, Lau yang pertama kali dapat bertemu dengan cucu lelaki berusia setahun, berkata: "Ini sambutan Tahun Baru Cina yang pertama saya sambut dengan keluarga dan mereka gembira datang menjemput saya pulang ke Johor".
Seorang lagi banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Hisham, 64, berkata beliau amat gembira melihat anak dan isterinya datang hari ini.
Bekas penjawat awam itu menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun kerana memalsukan dokumen mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan pada 2008.
"Saya bersyukur. Dalam tempoh tujuh hari ini saya hanya ingin duduk di rumah bersama keluarga dan berkongsi cerita. Tidak sabar untuk balik rumah saya di Kajang ini," katanya.
#Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
#Datuk Seri Zulkifli Omar
#Jabatan Penjara Malaysia
#Menteri Dalam Negeri