'Tujuh anai-anai UMNO perlu sedia terima hukuman' - Isa Samad

Wan Syamsul Amly
Oktober 29, 2015 10:15 MYT
ISA SAMAD: 'Tujuh anai-anai UMNO perlu sedia terima hukuman' - Gambar fail
Mana-mana ahli UMNO harus sedia menerima hukuman seandainya didapati melakukan perkara yang melanggar undang-undang parti.
Ahli politik veteran UMNO, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, amalan itu sebenarnya satu kebiasaan dan sudah dilakukan sejak sekian lama.
Katanya, ahli atau mana-mana pemimpin UMNO perlu menerima keputusan Lembaga Disiplin jika mereka didapati bersalah.
Kalau ada ahli parti ataupun mana-mana pemimpin yang membuat tindakan yang boleh merosakkan parti. Pasti perlu tindakan diambil.
"Ini bukan perkara baru, banyak perkara telah berlaku. Mereka melakukan perkara yang bercanggah dengan amalam parti, jadi parti boleh mengambil tindakan," katanya.
Mohd Isa berkata demikian semasa ditemui selepas pelancaran buku, 'Unplugged #WillYouStillBeAMalaysianIn10Years?' pada Khamis.
Ia merupakan hasil catatan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah dan anaknya, Datuk Azrin.
Pada Rabu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan tujuh individu dalam UMNO sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak patut dibuat di khalayak.
Tengku Adnan turut menggelar tujuh individu itu sebagai 'anai-anai' yang merosakkan parti.
Namun, Tengku Adnan tidak menamakan pihak yang disiasat.
Bagaimanapun pada Khamis, Ahli politik veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan ketidakpastiannya sama ada beliau merupakan salah seorang tujuh individu yang disiasat parti selepas didakwa mengeluarkan kenyataan negatif tentang kepimpinan parti itu di khalayak.
Pada 2005, Majlis Tertinggi (MT) UMNO melucutkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada semua jawatan dalam parti.
Mohd Isa juga pernah digantung keahlian selama enam tahun oleh Lembaga Disiplin parti kerana terlibat dengan kes rasuah politik.
#Isa Samad #majlis tertinggi #Tengku Adnan #UMNO