Tujuh ahli kumpulan Abu Sayyaf akan didakwa sebelum dihantar pulang - Polis Sabah

Eleanor Michelle Patrick
Ogos 25, 2021 17:27 MYT
Polis amat serius untuk mematahkan segala perancangan kumpulan Abu Sayyaf ini kerana kita tidak mahu mereka menjadikan Sabah sebagai kubu kuat atau tempat persembunyian mereka. FOTO: Sinar Harian
KOTA KINABALU: Kesemua tujuh ahli kumpulan Abu Sayyaf yang sebelum ini ditahan di Pulau Timbang, Sandakan, akan didakwa sebelum dihantar pulang ke Filipina.
Bagaimanapun, menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, ia masih berada pada peringkat perbincangan yang akan diadakan bersama pihak berkuasa Filipina.
Tambahnya, sebelum dihantar pulang, kesemua mereka mungkin berdepan pertuduhan di bawah Akta Imigresen.
"Kita percaya, semua tujuh suspek ini mempunyai rakan sekutu lain tetapi mungkin sudah melarikan diri berikutan operasi berterusan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini.
"Kita juga percaya semua tujuh suspek yang berjaya ditahan ini adalah sebahagian daripada kumpulan yang merancang aktiviti penculikan di Sandakan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Tadika Kemas Al-Ghazali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Rabu.
Tambahnya, polis juga percaya dalang kegiatan itu yang mati ditembak dan ditangkap di Beaufort dan Pulau Timbang sebelum ini merancang menculik pemilik ladang di sekitar perairan pantai timur Sabah.
"Polis amat serius untuk mematahkan segala perancangan kumpulan Abu Sayyaf ini kerana kita tidak mahu mereka menjadikan Sabah sebagai kubu kuat atau tempat persembunyian mereka.
"Kita akan ambil tindakan yang lebih agresif termasuk mengumpul maklumat risikan dari semasa ke semasa dan usaha ini juga mendapat sokongan penuh daripada pihak ESSCOM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),’’ tambahnya.
BACA: Abu Sayyaf: Pemilik ladang perlu pastikan pekerja memiliki dokumen pengenalan diri - Polis
BACA: Polis Sabah tembak mati dua anggota Abu Sayyaf
Sementara itu, Hazani turut menasihatkan pemilik ladang untuk membuat pengesahan dokumentasi terhadap individu yang diambil bekerja dan memastikan tiada ruang diberikan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja.
Terdahulu, polis berjaya menembak mati lima lelaki dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf di sebuah penempatan haram di kawasan hutan Taman Sri Arjuna, Beaufort, pada 17 Mei lalu.
Dalam kejadian sama, pihak polis berjaya merampas pelbagai jenis senjata api yang digunakan dalam insiden berbalas tembakan dengan pihak berkuasa.
Pada 20 Ogos lalu, pihak PDRM juga menembak mati dua ahli kumpulan Abu Sayyaf dalam operasi di Pulau Timbang, Sandakan.
#Kumpulan Abu Sayyaf #pengganas di Sabah #ESSCOM di Sabah #kumpulan Abu Sayyaf ditembak #Hazani Ghazali #Polis Sabah
;