Tujuan penubuhan SG4 baik tapi perlu teliti pasaran REE dunia - Zahid

Bernama
September 5, 2024 14:50 MYT
Ahmad Zahid berkata, harga REE dunia ketika ini telah merosot sebanyak 70 peratus daripada harga asal disebabkan oleh lambakan REE di pasaran dunia, susulan pengeluaran simpanan stok oleh negara-negara tertentu. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penubuhan Syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) oleh empat negeri ditadbir pembangkang bagi memajukan industri memproses nadir bumi (REE) sememangnya bertujuan baik, namun penelitian harus diberikan kepada harga pasaran unsur REE dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata ia berikutan harga REE dunia ketika ini telah merosot sebanyak 70 peratus daripada harga asal disebabkan oleh lambakan REE di pasaran dunia, susulan pengeluaran simpanan stok oleh negara-negara tertentu.
"Walaupun harganya telah turun 70 peratus daripada harga asal, tetapi potensinya ada, dan empat negeri ini tentu mempunyai strategi (pengurusan) sendiri, namun ia tertakluk kepada percukaian dan ekosistem yang telah ditentukan oleh kerajaan Persekutuan bagi tujuan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Duta Sepanyol ke Malaysia Jose Luis Pardo.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini dilaporkan berkata SG4 Group akan memberi tumpuan untuk memajukan industri memproses REE dalam usaha meningkatkan ekonomi empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) uakni Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.
Sementara itu merujuk kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata ia akan diumumkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz.
"Saya berikan kuasa kepada Menteri Besar Johor untuk umum calon Mahkota," katanya secara ringkas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept ini.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lepas.
-- BERNAMA
#SG4 #Ahmad Zahid Hamidi #REE #unsur nadir bumi