Tugu Peringatan Force 136 Pahang abadikan 244 pejuang negara

Norfarhiza Mohd Atar
September 25, 2022 04:19 MYT
Ahli Persatuan Peminat Sejarah Pahlawan (dari kiri) Khairul Azhar Shabudin, Michael Choo dan Mohd Fontedza Mohd Rawi hadir pada majlis Perasmian Tugu Peringatan Force 136 Pahang di Raub semalam. --fotoBERNAMA
RAUB: Sebuah Tugu Peringatan Force 136 Pahang dibina di Kem Puncak Mas di sini bagi memperingati 244 pejuang yang menentang tentera Jepun dalam era Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu.
Tengku Panglima Raja, Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah bertitah, mereka terdiri daripada 27 pegawai dan 217 lain-lain pangkat, yang merupakan pengasas pembentukan Rejimen 505 Askar Wataniah.
Baginda yang juga Komander Rejimen 505 Askar Wataniah bertitah, tujuan Tugu Peringatan Force 136 Pahang dibina adalah bagi memperingati pejuang-pejuang tanah air yang terdiri daripada anak-anak watan negeri ini.
“Mengimbas kembali sejarah Force 136, pasukan ini ditubuhkan pada 16 Mac 1944 adalah nama samaran kepada operasi sulit yang bertujuan melakukan perisikan dan sabotaj terhadap tentera Jepun.
“Pada 1 Disember 1945, Force 136 dibubarkan selepas tentera Jepun menyerah kalah dan anggota Force 136 dikekalkan sebagai askar Wataniah,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian tugu tersebut yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini, semalam.
Titah Tengku Amir Nasser, Force 136 Pahang diketuai Yeop Mahidin Mohd Sharif dan turut disertai Tun Abdul Razak Hussein, Tun Ghazali Shafie dan Datuk Abdul Rahman Ismail, yang merupakan tokoh penting negara.
"Tugu Peringatan Force 136 Pahang disempurnakan pada bulan September sempena sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia ke-89 pada 16 Sept setiap tahun.
"Tugu peringatan ini adalah cetusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in semasa Seri Paduka menjawat Komander Rejimen 505 Askar Wataniah," ujarnya.
Sementara itu, pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired berkata, sebagai waris kepada pejuang Force 136 menzahirkan rasa terharu dan berbesar hati kerana kerana jasa datuknya, Allahyarham Syed Abd. Rahman Syed Mohamed dihargai.
"Arwah datuk saya, Syed Abd Rahman dan adiknya, Syed Abd Rahim pernah berkhidmat setahun pada 1944 dalam Force 136. Saya tak sangka namanya turut tercatat pada tugu peringatan ini," katanya.
#Force 136 #tugu peringatan #Pahang #Jepun