Tuduhan rogol: Parti belum putuskan kedudukan Paul Yong - Anthony Loke

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 23, 2019 10:16 MYT
Anthony berkata, pihaknya menghormati proses undang-undang dan menyerahkan kepada mahkamah untuk mengadili kes tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
Parti DAP belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan Exco Perak, Paul Yong Choo Kiang yang kini sedang berdepan pertuduhan di mahkamah atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP terlebih dahulu sama ada mahu memutuskan Yong patut bercuti atau sebaliknya.
Mengulas perkara itu, Anthony berkata, pihaknya menghormati proses undang-undang dan menyerahkan kepada mahkamah untuk mengadili kes tersebut.
"Biarkan undang-undang melalui prosesnya. Sehingga kini tindakan masih belum ditentukan pihak kepimpinan dan akan datang dari Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dan bukan dari pemimpin individu.
"Kenyataan telah dikeluarkan semalam, biar parti tentukan. Kita tak bincangkan. Pemimpin yang membangkitkan isu itu harus melalui saluran CEC," kata Anthony.
BACA: 'Saya tidak akan bercuti, saya bukan penjenayah' - Exco Perak
BACA: Dakwaan rogol pembantu rumah warga Indonesia: peguambela hantar representasi
BACA: Rogol amah: Mangsa sedia lalui proses perbicaraan
Paul Yong didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada Jumaat atas tuduhan merogol seorang wanita warga Indonesia yang merupakan pembantu rumahnya, Julai lalu.
Paul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Berikutan pertuduhan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan turut menasihatkan Paul supaya bercuti daripada tugas rasmi termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan sehingga proses perbicaraan selesai.
#DAP #dituduh rogol #Exco #Indonesia #Mahkamah Sesyen #Paul Yong Choo Kiang #rogol #undang-undang