Tuduh Tun M lakukan konspirasi, Abdullah Sani mohon maaf
Astro Awani
Ogos 21, 2018 13:23 MYT
Ogos 21, 2018 13:23 MYT
Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid hari ini memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas tuduhannya terhadap Perdana Menteri.
Memetik laporan The Star pada Selasa, Ahli Parlimen Kapar itu sebelum ini mendakwa Dr Mahathir adalah antara mereka yang membuat keputusan untuk menghalang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan negara.
Abdullah Sani mendakwa bahawa Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin bersungguh-sungguh untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.
Anggota jawatankuasa eksekutif PKR itu menambah bahawa beberapa pihak,yang telah menganiaya Anwar sebelum ini, berkonspirasi untuk menafikan hak Anwar dari menjadi pemimpin tertinggi negara.
Permohonan maaf itu menyusuli kenyataan terbaharu Anwar yang berkata tiada asas kukuh untuk menuduh Dr Mahathir merancang konspirasi tersebut.
Abdullah Sani membuat tuduhan tersebut pada 12 Ogos lalu di Seremban ketika berkempen untuk Rafizi Ramli, yang bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR.