TUDM terima pesawat tanpa pemandu dari Turkiye tahun ini
Bernama
Februari 21, 2025 15:25 MYT
Februari 21, 2025 15:25 MYT
Emir Salim Yuksel menegaskan hubungan pertahanan antara Malaysia dengan Turkiye amat kukuh. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka mula menerima sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) "ANKA" buatan Turkiye yang diperoleh pada Mei 2023, dalam tahun ini, kata Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel.
Bercakap kepada Bernama selepas menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV di sini semalam, beliau menyifatkan ANKA MALE-UAS yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dan akan dikendalikan TUDM, sebagai "platform yang sangat canggih".
"Saya rasa pemindahan ANKA (ke Malaysia) akan berlaku tahun ini. Tetapi, ia platform yang amat canggih, bukan sekadar satu objek terbang.
"Ia memerlukan sistem ketersambungan, kawalan dan pemerintahan serta latihan anggota. Memandangkan ia merupakan UAS yang sangat canggih, ia mengambil sedikit masa untuk menangani isu sampingan yang perlu diselesaikan," katanya.
Kementerian Pertahanan dan TAI telah menandatangani kontrak pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023) untuk memperoleh tiga unit ANKA MALE-UAS berserta peralatan sokongan berkaitan.
Berkenaan kemungkinan Malaysia akan membuat pesanan tambahan untuk ANKA-UAS daripada TAI dalam masa terdekat untuk memenuhi keperluan angkatan tentera, duta itu tidak menolak kemungkinan berkenaan, namun menyerahkan keputusan kepada budi bicara negara Asia Tenggara itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan hubungan pertahanan antara Malaysia dengan Turkiye amat kukuh dan Ankara bersedia untuk "bekerjasama (dengan Malaysia) sebanyak mungkin".
"Sudah tentu, perbincangan mengenai kerjasama akan datang sedang berlangsung. Saya percaya terdapat banyak peluang kolaborasi antara kedua-dua negara, dan saya tidak melihat sebarang halangan untuk terus maju," katanya.
Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menempatkan ANKA MALE-UAS yang diperoleh nanti di Pangkalan Udara Labuan bagi berfungsi sebagai "mata dan telinga", memantau pencerobohan asing ke perairan negara, khususnya dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan, yang merupakan kawasan utama aktiviti minyak dan gas.
Malaysia dipercayai memilih varian ANKA-S yang mampu beroperasi pada ketinggian hingga 30,000 kaki selama 24 hingga 30 jam, dengan kapasiti muatan antara 250 hingga 350 kilogram.
Varian ANKA-S MALE-UAS mempunyai kerangka komposit yang disepadukan dengan komputer kawalan penerbangan autonomi yang dibangunkan secara domestik, membolehkan ia melakukan pemanduan waypoint dan operasi penerbangan autonomi.
Dilengkapi dengan Synthetic Aperture Radar (SAR), Inverse SAR (ISAR), dan radar Ground Moving Target Indicator (GMTI), ANKA-S mampu mengesan, mengenal pasti dan menjejak sasaran pegun atau bergerak.
Selain melaksanakan tugas risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR), ANKA MALE-UAS serba canggih itu juga mempunyai kemampuan membawa empat peluru berpandu MAM Smart Micro yang dibangunkan oleh ROKETSAN untuk misi serangan darat.
Yuksel berkata beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini ditempatkan di Turkiye bukan sahaja untuk latihan berkaitan ANKA MALE-UAS, tetapi juga bagi memantau pembinaan tiga kapal Littoral Mission Ship Batch II (LMSBII) yang diperoleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari limbungan kapal di negara itu.
Malaysia menandatangani kontrak untuk memperoleh tiga LMSBII tahun lepas, dengan reka bentuk berdasarkan kapal korvet kelas ADA milik tentera laut Turkiye.
Tiga kapal misi pesisir itu akan dilengkapi dengan sensor dan sistem elektronik canggih serta peluru berpandu antikapal ATMACA buatan Turkiye yang dibangunkan syarikat pertahanan negara berkenaan ROKETSAN, berupaya mengenai sasaran dengan ketepatan jarak 250 kilometer.
-- BERNAMA