TUDM terbangkan tiga ibu mengandung dari Felda Selancar ke Kuantan

Amirah Nordin
Mac 1, 2023 00:08 MYT
Penerbangan ihsan itu dilakukan susulan kejadian jalan terputus di laluan utama yang menghubungkan Felda Selancar dengan bandar Muadzam Shah akibat kejadian tanah runtuh. - Foto Astro AWANI
ROMPIN : Tiga ibu mengandung berisiko tinggi yang berada dalam fasa pertama kelahiran diterbangkan dengan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dari Perwira Jaya, dekat sini pada jam 7.15 malam Rabu.
Penerbangan ihsan TUDM itu dilakukan setelah menerima makluman daripada Klinik Kesihatan Perwira Jaya pada pukul 10.30 pagi dan penerbangan itu tiba di Rompin kira-kira jam 6.15 petang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penerbangan Pasukan Obstetric Retrieval dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan Obstetrik dan jururawat kesihatan diterbangkan ke Felda Selancar sekitar jam 4.51 petang mengambil masa kira-kira 1 jam 40 minit.
"Penerbangan ihsan itu dilakukan susulan kejadian jalan terputus di laluan utama yang menghubungkan Felda Selancar dengan bandar Muadzam Shah akibat kejadian tanah runtuh.
"Ketiga-tiga ibu mengandung itu dibawa dengan ambulans HTAA yang bersedia di lapangan terbang TUDM, Kuantan dan pesakit tiba di HTAA sekitar 8.33 malam, kesemua ibu mengandung itu dimasukkan ke dewan bersalin untuk menerima rawatan lanjut, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dr. Noor Hisham Abdullah turut merakam ucapan terima kasih kepada Pusat Kegiatan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Rompin dan TUDM serta kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama yang diberikan.
#Felda #TUDM #tanah runtuh #HTAA
;