TUDM terbangkan kanak-kanak, bayi alami masalah jantung
Bernama
Februari 1, 2021 21:54 MYT
Februari 1, 2021 21:54 MYT
KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat penerbangan ihsan membawa seorang kanak-kanak lelaki dan bayi perempuan yang mengalami masalah jantung dari Kuching, Sarawak ke ibu negara hari ini.
TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan Faaed Faizal berusia dua tahun dan Dollyn Ting Xiang Ling, dua bulan, diterbangkan menggunakan pesawat pengangkut C130H bagi menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.
Kenyataan itu memberitahu pesawat berkenaan berlepas dari Kuching pada 1.36 tengah hari tadi dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada 3.39 petang dengan diiringi ibu kepada kedua-dua pesakit berkenaan serta seorang pegawai perubatan.
"Seluruh warga TUDM mendoakan supaya kedua-dua mereka dapat menerima rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan," menurut kenyataan itu.
Berdasarkan kenyataan itu, Faaed mengalami masalah jantung 'Severe Mitral Regurgitation On Non-Invasive Ventilation' manakala Ting mengalami masalah 'Large Ventricular Septal Defect, Severe Coarctation Of Aorta' dan kedua-duanya pernah menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.
-- BERNAMA
#TUDM
#Tentera Udara Diraja Malaysia
#penerbangan ihsan
#Kanak-kanak
#masalah jantung
#Kuching
#Sarawak
#Faaed Faizal
#Dollyn Ting Xiang Ling
#IJN
#Institut Jantung Negara