TUDM pindah ke Pangkalan Udara Sendayan secara berperingkat

Syakirah Zulkifly
Mac 15, 2018 21:06 MYT
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyerahkan bendera kepada Komander Pangkalan Udara Sendayan Kol Mohamad Noh Daim pada Perbarisan Perpindahan Permulaan Pangkalan Udara Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Perpindahan Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur ke Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan sedang dilakukan secara berperingkat bermula pada awal Januari lalu sehingga bulan Jun tahun ini.
Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang, pangkalan udara Kuala Lumpur itu harus dipindahkan ke kawasan yang lebih luas, sistematik dan komprehensif atas faktor perubahan kawasan sekitar pangkalan yang begitu pesat membangun.
“Pangkalan Udara Sendayan telah dibina bagi memenuhi kehendak tentera udara dengan insfratruktur yang moden dan lengkap dengan tempat aktiviti riadah dan sukan,” katanya selepas menyempurnakan upacara Perbarisan Perpindahan Permulaan Pangkalan Udara Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Perbarisan simbolik itu diadakan julung kalinya sempena penyerahan bendera kepada Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kolonel Mohamad Noh Daim.
Upacara perbarisan Perpindahan Permulaan Pangkalan Udara Kuala Lumpur dilakukan oleh 15 pegawai dan 205 anggota lain-lain pangkat.
Pangkalan Udara Kuala Lumpur merupakan Lapangan Terbang Antarabangsa pertama di negara ini dan juga pangkalan udara pertama di Tanah Melayu, yang mana ia mula beroperasi pada 1 Jun 1941.
Pasukan Tentera Udara Diraja Persekutuan ditubuhkan pada 2 Jun 1958 bertujuan memudahkan operasi ‘Royal Air Force’ dalam mempertahankan Tanah Melayu.
Pada 25 Oktober 1960, Kerajaan British secara rasminya menyerahkan pangkalan ini kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Persekutuan yang kemudiannya dikenali sebagai Tentera Udara Diraja Malaysia, TUDM.
#Kuala Lumpur #Malaysia #Melayu #Negeri Sembilan #pangkalan udara #Sendayan #TUDM
;