TUDM laksana penerbangan ihsan bawa pesakit jantung dan penghantaran makanan

Hilmi Malik
Julai 9, 2021 17:30 MYT
Selain menghantar pesakit, penerbangan itu juga membawa bekalan makanan asas buat rakyat yang terkesan akibat PKP di Wilayah Persekutuan Labuan. - Foto TUDM
KUALA LUMPUR : Tentera Udara Malaysia (TUDM) hari ini melakukan satu penerbangan ihsan bagi membawa seorang pesakit dari Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur ke Sarawak.
Pesakit yang juga merupakan warga emas berusia 62 tahun itu dikatakan mengalami masalah injap jantung dan memerlukan rawatan susulan di Sarawak.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM menerusi satu kenyataan pada Jumaat turut memaklumkan pesakit berkenaan telah selamat menjalani pembedahan pada 29 Disember lalu di IJN Kuala Lumpur.
“Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut A400M dari Pangkalan Udara Subang dan telah berlepas jam 6.58 pagi dan selamat tiba di Pangkalan Udara Kuching pada jam 8.40 pagi,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut TUDM, penerbangan itu merupakan antara komitmen TUDM dalam melaksanakan tanggungjawab sosial.
Selain itu, penerbangan tersebut turut membawa bantuan makanan asas yang dihantar ke Wilayah Persekutuan Labuan dengan menyasarkan individu yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
#TUDM #warga emas #PKP #Kuching #Kuala Lumpur #penerbangan ihsan #perintah kawalan pergerakan #Malaysia #penerbangan #pesawat #Labuan
;