TUDM jalankan siasatan dalaman dakwaan anggota dibuli - Mohamad

Bernama
Mei 2, 2023 16:15 MYT
Mohamad berkata siasatan dalaman dijalankan selepas bapa pelatih berkenaan membuat laporan polis terhadap kejadian yang menimpa anaknya di pusat latihan tersebut. -Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjalankan siasatan dalaman bagi menyiasat dakwaan buli seorang anggota di pusat latihan di Kuantan, Pahang.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata siasatan dalaman dijalankan selepas bapa pelatih berkenaan membuat laporan polis terhadap kejadian yang menimpa anaknya di pusat latihan tersebut.
Beliau berkata polis juga telah hadir ke pusat latihan berkenaan baru-baru ini untuk menjalankan siasatan dan pihak TUDM turut memberikan kerjasama sepenuhnya.
"Selain siasatan polis, TUDM juga melakukan siasatan dalaman terhadap laporan berkenaan, TUDM tidak menerima laporan mengenai kejadian buli ini, bapa mangsa hanya membuat laporan polis.
"Polis akan memastikan kes buli berkenaan disiasat secara menyeluruh dan individu yang didapati bersalah melanggar tatatertib dan prosedur operasi standard bagi setiap anggota yang duduk di pusat latihan dikenakan tindakan sewajarnya," katanya dalam sidang media di Rumah Terbuka Kementerian Pertahanan dan Kem Kementah, di sini, hari ini.
Terdahulu tular satu perkongsian di media sosial dengan seorang wanita mendakwa adiknya menjadi mangsa buli di sebuah pusat latihan tentera udara.
Dalam perkongsian berkenaan wanita itu mendakwa adiknya menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi sehingga menyebabkan beliau trauma dan ketakutan.
-- BERNAMA
#TUDM #mangsa buli #penderaan fizikal #Mohamad Hasan
;