TUDM hantar kelengkapan perubatan ke Hospital Medan ATM Sibu
Bernama
Oktober 17, 2021 21:54 MYT
Oktober 17, 2021 21:54 MYT
SIBU: Tentera Udara Diraja Malaysia hari ini menghantar pelbagai kelengkapan dan peralatan perubatan menggunakan pesawat angkut jenis A4000M untuk ditempatkan di Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia Sibu yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
Briged Kesembilan Infantri Malaysia, yang berpangkalan di sini, dalam kenyataan memaklumkan pesawat membawa muatan 6 tan termasuk khemah, pendingin hawa mudah alih, katil serta pemekat oksigen berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada 7 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Sibu pada 8.50 pagi.
"Pesawat itu telah dikendalikan juruterbang Mejar Mohd Hafiz Mat Yusof dengan dibantu Kapten Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor dan Kapten Muhammad Idris Ismail bersama empat kru daripada No 22 Skuadron," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut 10 pegawai serta 20 anggota 9 Briged Infantri telah turun padang bagi menerima barangan terbabit dan sebanyak 10 trak tiga tan diatur gerak untuk membawanya ke hospital medan yang terletak di pekarangan Hospital Sibu.
Penubuhan hospital medan itu merupakan yang kedua seumpamanya di Sarawak selepas Kapit bagi membantu Hospital Sibu menguruskan pesakit bukan COVID-19 sekali gus meringankan beban tugas kakitangan dalam merawat pesakit COVID.
-- BERNAMA
#Tentera Udara Diraja Malaysia
#TUDM
#peralatan perubatan
#Hospital Medan ATM Sibu
#Angkatan Tentera Malaysia