TUDM gantung operasi latihan Hawk MK108 - Panglima Tentera Udara
Astro Awani
Jun 15, 2017 18:22 MYT
Jun 15, 2017 18:22 MYT
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memutuskan untuk menggantung semua operasi latihan atau penerbangan pesawat jenis Hawk MK108 bagi memberi ruang siasatan ke atas nahas pesawat mereka dilakukan.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, bagaimanapun tempoh penggantungan operasi pesawat itu akan diputuskan dalam masa terdekat.
Menurutnya, penggantungan itu akan dimaklumkan kemudian, selepas mengambil kira hasil siasatan Badan Siasatan yang akan ditubuhkan.
"Keputusan ini (penggantungan) dibuat memberikan ruang kepada pasukan siasatan melakukan siasatan mereka... ini adalah antara langkah segera yang kita ambil.
"Selain itu, kita juga akan memastikan kebajikan keluarga kedua juruterbang kami yang terkorban ini mendapat perhatian sewajarnya.
"Kematian Mejar Mohd Hasri Zahari, 31 tahun dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39 tahun adalah juruterbang berpengalaman dan aset kami... insiden ini adalah kehilangan besar kepada TUDM," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Pangkalan TUDM Kuantan, di sini.
Sebelum itu, katanya, dua juruterbang Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang jam 11.30 pagi tadi disahkan meninggal dunia.
Mohd Hasri berasal dari Kuala Lumpur manakala Yazmi pula dari Negeri Sembilan ditemui kira-kira jam 2.30 petang, di kawasan hutan dan berpaya berhampiran Kampung Chukai, Terengganu iaitu 48 Kilometer daripada Pengkalan TUDM Kuantan.
Jelasnya, mayat mangsa ditemui 20 meter antara satu sama lain dengan payung terjun kecemasan masing-masing.
"Kita percaya mereka sempat menarik kerusi anjal ketika pesawat itu apabila pesawat terbabit mula hilang kawalan.
"Bagaimapun, rangka pesawat mangsa pesawat masih belum ditemui dan pihaknya kini akan menjalankan kerja mencari rangka terbabit," katanya
Jelasnya, kedua juruterbang tersebut sedang melalukan latihan lanjutan sebelum pesawat yang dinaiki mereka hilang dari unit kawalan udara kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.
Yazmi jurulatih penerbang pesawat yang sudah berkhidmat kira-kira 19 tahun, dan Mohd yang berkhidmat 13 tahun.
#Affendi Buang
#Hawk 108
#Hawk MK108
#Jeneral Datuk Seri Affendi Buang
#Kuala Lumpur
#Media
#panglima tentera udara
#pesawat
#TUDM