TUDM dijangka bincang perolehan pesawat Hornet pada Jun depan
Bernama
Mei 11, 2024 18:45 MYT
Mei 11, 2024 18:45 MYT
IPOH: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka mengadakan lawatan ke Kuwait pada Jun depan bagi berunding mengenai perolehan pesawat tempur F/A-18D (Hornet).
Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata lawatan itu adalah untuk membincangkan mengenai perancangan memperoleh pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait yang masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.
"TUDM masih menaruh harapan untuk memiliki pesawat pejuang F/A-18D Hornet walaupun tindakan terkini oleh negara itu yang terpaksa menyelenggara dan menaik taraf pesawat Hornet sedia ada disebabkan penghantaran pesawat pejuang F/A-18E/F (Super Hornet) dibeli oleh Kuwait berdepan kelewatan.
"Kuwait mempunyai 39 pesawat itu terdiri daripada dua dan satu tempat duduk sahaja. Jadi pada lawatan itu nanti pihak TUDM dan kerajaan Malaysia sendiri akan menentukan jumlah pesawat yang diperlukan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Asghar Khan menghadiri majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 67/23 di Akademi Tentera Udara (ATU) di sini.
Sebelum ini, media melaporkan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf pesawat Hornet Kuwait berkemungkinan memberi gambaran negara itu belum bersedia untuk "berpisah" dengan Hornet milik mereka sama ada kepada Malaysia atau pihak lain.
Pada Jun tahun lepas, Kuwait dilaporkan memohon kepada Amerika Syarikat untuk menyelenggara dan menaik taraf pesawat Hornet miliknya bernilai US$1.8 bilion disebabkan penghantaran Super Hornet berdepan kelewatan.
Sementara itu, seramai 443 pelatih terdiri 383 lelaki dan 60 wanita berjaya menamatkan latihan masing-masing, menyaksikan Amirul Akif Mohd Salleh dipilih menerima Anugerah Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan, manakala Nur Safiah Hani Adly dinobatkan sebagai Perajurit Muda Udara Akademik Terbaik.
-- BERNAMA